PUTRAJAYA – Persidangan NGO Asean Plus Mempertahankan Baitulmaqdis dan Masjid Al Aqsa hari ini (24 Mac) menggariskan 11 deklarasi bagi membebaskan simbol penyatuan umat Islam itu.
Dinamakan sebagai ‘Deklarasi dan Pelan Tindakan Putrajaya: Bersatu Untuk Membebaskan Baltulmaqdis dan Masjid Al Aqsa’ ia antara lain menegaskan bahawa Baitulmaqdis adalah ibu kota Palestin dan sebarang langkah untuk menukar status itu adalah tidak boleh diterima sama sekali.
Sebelas deklarasi berkenaan dibacakan Pengarah Jawatankuasa Pelaksana Persidangan NGO ASEAN Plus Mempertahankan Baitulmaqdis dan Masjid Al Aqsa, Mohd Azmi Abdul Hamid merangkap Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan selepas itu diserahkan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, di Putrajaya, hari ini.
Deklarasi berkenaan turut mengutuk pencerobohan askar Israel di kawasan Masjid Al Aqsa dan melanggar perjanjian dengan Jordan selaku penjaga masjid itu selain mengutuk pengepungan Gaza serta serangan agresif berterusan oleh rejim Zionis ke atas Palestin.
Deklarasi itu juga turut menyebut peranan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang ditubuhkan pada 1969 sebagai tindak balas terhadap serangan kepada Masjid Al Aqsa oleh seorang berbangsa Yahudi tetapi kini dilihat tidak efektif dalam mempertahankan masjid suci itu daripada serangan lebih parah oleh rejim Zionis.
Ia turut mengulangi bahawa segala tindakan yang diambil oleh Israel seperti penguatkuasaan undang-undang dan pentadbiran di Palestin adalah tidak sah dan mendesak supaya Israel segera menghentikan segala perbuatan haram mereka selain menentang sekeras-keranya pencabulan undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan dilakukan rejim zionis itu.
Dalam pada itu, Fuziah ketika ditemui selepas persidangan itu berkata, Malaysia dengan mengambil semangat daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu memainkan peranan lebih besar di masa depan dalam mengetengahkan isu itu.
“Kita perlu ambil dan contohi semangat Dr Mahathir yang berani bercakap di pentas dunia untuk mempertahankan bumi Palestin. Jadi kita juga terutama di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam mestilah menjadi pemimpin yang berani membawa agenda ini.
“Kita perlu lebih lantang membawa agenda ini di pelbagai peringkat selepas ini termasuk ASEAN dan kami di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam bersedia memainkan peranan itu,” katanya. – Harian Metro
KOMEN