Home » Langit Terbuka » 41,583 pencarum mendaftar

41,583 pencarum mendaftar

Hari pertama pembukaan pendaftaran Skim Syariah KWSP

KUALA LUMPUR 9 Ogos – Sebanyak 41,583 pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) direkodkan mendaftar dalam Simpanan Syariah pada hari pertama pembukaan pendaftaran skim itu di seluruh negara, semalam.

Malah, pada hari kedua pendaftaran memperlihatkan kebanjiran pencarum yang cukup luar biasa berbanding hari pertama berikutan berita mengenai proses pendaftaran itu mendapat liputan yang meluas daripada pihak media tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, proses pendaftaran itu bagaimanapun diteruskan sehingga peruntukan dana RM100 bilion habis atau sehingga tarikh tutup permohonan pada 23 Disember ini.

“Ahli-ahli juga perlu melihat kenyataan KWSP yang dikemas kini di laman Facebook dan Twitter dari semasa ke semasa bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai Simpanan Syariah selain mengenal pasti cawangan-cawa­ngan KWSP yang sesak,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat KWSP di sini hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani dan Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman.

Terdahulu, Johari turut sama beratur di kaunter KWSP untuk menukar caruman kepada Simpanan Syariah.

Dana sebanyak RM100 bilion iaitu kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP berjumlah RM681.71 bilion sehingga akhir Mac lalu diperuntukkan untuk simpanan tersebut bagi 2017 berdasarkan ‘siapa cepat dia dapat’.

Bagi men­daftar untuk Simpanan Syariah, para pencarum perlu membawa kad pengenalan masing-masing dan KWSP memerlukan pengesahan cap jari pencarum yang mengambil masa kira-kira seminit sehingga dua minit.

Menurut Shahril Ridza, pihaknya menawarkan perkhidmatan yang pantas bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada para pelanggan.

“Kami tidak boleh melakukan pendaftaran secara dalam talian berikutan kami memerlukan pengesahan biometrik cap jari pencarum bagi memastikan pendaftaran yang dibuat adalah daripada pencarum yang terlibat,” katanya.

-https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *