BANDAR GAZA: Pemimpin Hamas, Ismail Haniya mengumumkan sokongannya terhadap satu cadangan baharu diketuai Mesir terhadap penyatuan dengan seterunya di Palestin, Fatah.
Pejabat pemimpin Hamas itu berkata, beliau sudah bercakap dengan ketua perisikan Mesir, Abbas Kamel untuk memaklumkan berhubung sokongan pergerakannya terhadap satu tawaran baharu dibantu negara berkenaan.
Satu kenyataan daripada Hamas berkata, kedua-duanya berbincang ‘perkembangan terbaharu dalam isu Palestin terutama penyatuan dengan Fatah dan projek kemanusiaan untuk penduduk di Semenanjung Gaza.’
Timbalan Haniya, Saleh al-Arouri mengetuai satu delegasi ke Kaherah minggu lalu. Setakat ini, Fatah yang sekular belum secara rasmi memberi maklum balas terhadap tawaran baharu penyatuan itu.
Satu perjanjian dibantu Mesir sebelum ini, ditandatangani Hamas dan Fatah pada Oktober 2017, gagal dalam pelaksanaannya.
Mac lalu, seorang pentadbir kerajaan Fatah yang menguasai Tebing Barat terselamat daripada serangan bom tepi jalan mengenai konvoinya dalam kunjungan luar biasa ke Gaza, dengan sekutunya kemudian menuduh Hamas merancang serangan.
Diharapkan penyatuan itu dapat mengurangkan penderitaan kemanusiaan di Gaza, menempatkan kira-kira dua juta penduduk.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi isyarat menyatakan sokongannya terhadap tawaran penyatuan baharu itu, namun diplomat hanya menaruh sedikit harapan.
Hamas menang pilihan raya parlimen 2006, namun Presiden Palestin Mahmoud Abbas yang mengetuai Fatah dan majoriti masyarakat antarabangsa enggan menerima keputusan itu, meningkatkan perseteruan antara keduanya.
Setahun kemudian, Hamas mengambil alih kawalan Gaza, sejak itu dua pentadbiran awam berasingan Palestin muncul. – Berita Harian
KOMEN