Home » Langit Terbuka » 4 muka baharu antara 22 dilantik Anggota MAIS Sesi 2024-2026

4 muka baharu antara 22 dilantik Anggota MAIS Sesi 2024-2026

Sultan Sharafuddin berkenan menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Anggota MAIS Sesi 2024-2026 di Istana Bukit Kayangan, hari ini. - FOTO BERNAMA

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada 22 Anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), termasuk empat muka baharu bagi sesi 2024 hingga 2026.

Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar, berkata baginda berkenan melantik dan menerima menghadap Tengku Seri Andika Diraja, Tengku Datuk Iskandar Shah Tengku Ismail Shah yang juga Orang Besar Bergelar, dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohamad Izam Mohamed Yusof.

Dua lagi muka baharu yang dilantik ialah Profesor di Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Dr Ashraf Md Hashim, dan Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salasiah Hanin Hamjah.

“Pada masa sama, Sultan Sharafuddin berkenan mengekalkan dan melantik Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebagai Pengerusi MAIS bagi sesi 2024-2026.

“Selain itu, Orang Besar Daerah Petaling, Datuk Emran Kadir juga dikekalkan sebagai Timbalan Pengerusi MAIS bagi sesi baharu ini,” katanya pada Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Anggota MAIS Sesi 2024-2026, di Istana Bukit Kayangan, di sini, hari ini.

Ahmad Shahir berkata, MAIS juga dianggotai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim; Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad; Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Salim Soib; Pegawai Kewangan Negeri, Dr Ahmad Fadzil Ahmad Tajudin; dan Ketua Polis Negeri, Datuk Hussien Omar Khan.

“Pelantikan ini selaras dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 bawah Subseksyen 11 (1) dan (2). Pelantikan semua Anggota MAIS itu berkuat kuasa mulai 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2026,” katanya.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *