Home » Langit Terbuka » 37 bekas ahli ajaran sesat PGWS taubat

37 bekas ahli ajaran sesat PGWS taubat

Shah Alam: Seramai 37 anggota Persatuan Gerakan Warisan Silam (PGWS) yang mengamalkan ajaran sesat, membuat pengakuan bertaubat dalam Majlis Istitabah di sini, semalam.

Mereka adalah bekas pengikut persatuan itu yang ditahan dalam satu operasi yang dijalankan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah rumah di Banting pada 15 Mei lalu.
Semua mereka bersumpah dan berikrar untuk tidak lagi mengulangi perbuatan itu pada masa depan selain menandatangani deklarasi taubat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Marzuki Hussin, berkata usaha memulih, menyedarkan dan membawa bekas kumpulan ajaran sesat itu ke pangkal jalan satu kejayaan dalam menegakkan ajaran Islam.

Ucap tahniah

“Saya mengucapkan tahniah kepada mereka yang terbabit atas keberanian menerima hakikat kebenaran dan bersedia bersama-sama dalam majlis yang cukup bersejarah ini,” katanya pada majlis itu.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad.

Kumpulan ajaran sesat PGWS dikesan aktif sejak dua tahun lalu dengan mengamalkan ajaran Islam berpandukan buku yang ditulis oleh individu yang menolak hadis sebagai sumber kedua pengambilan hukum dan membawa kefahaman palsu.

Bekas pengasas PGWS, Salahuddin Hassan Jaba`ie, berkata beliau memohon maaf kepada JAIS dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta menyesal dengan perbuatannya.

“Saya mewakili sahabat lain dalam persatuan ini bersyukur kepada Allah kerana ditahan oleh penguat kuasa JAIS. Jika JAIS tidak melakukan tangkapan terhadap kami, mungkin hingga ke hari ini saya tidak sedar akan kesalahan, kelemahan dan kekurangan yang sudah saya lakukan.

“Saya berharap selepas ini, saya dapat membina hubungan baik dengan JAIS dan MAIS serta bekerjasama dengan mereka bagi menjalankan Islam yang sebenarnya,” katanya.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *