ARAU 11 Jan. – Â Seramai 36 pelajar Universiti Islam Riau di Indonesia berpeluang menyelami usaha Perlis menyantuni golongan asnaf di negeri ini, hari ini.
Pengalaman bermakna itu dilalui semua pelajar yang mengikuti latihan praktikal selama tiga minggu di Universiti Teknologi MARA itu sempena program Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf yang masuk edisi kelima tahun ini.
Menariknya program kayuhan sejauh kira-kira 13 kilometer (km) yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Ali-Imran di Pauh, disertai Rektor UiTM Cawangan Perlis, Zailuddin Ariffin dan pegawai MAIPs serta barisan pengarah jabatan negeri Perlis, diketuai Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Pada majlis itu Raja Muda Perlis selaku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan melancarkan Program Masjid Sahabat yang membabitkan jalinan usahasama tiga masjid iaitu Masjid An-Nur di UiTM Cawangan Perlis, Masjid Ali-Imran di Pauh, dekat sini serta Masjid Al-Munawarah di Universitas Islam Riau, Indonesia.
Baginda ketika bertitah menegaskan jalinan ini adalah usahasama bagi mengimarah masjid dan menyemarakkan lagi peranan serta pengisian program masjid sebagai pusat kehidupan umat Islam dan masyarakat antarabangsa serumpun.
Sementara itu, Zailuddin pula berkata, program Masjid Sahabat ini adalah kesinambungan kepada Program Masjid Sahabat bersama tujuh masjid di Perlis oleh tujuh fakulti di UiTM Cawangan Perlis.
“Program jalinan ini sangat bermanfaat dan dengan itu usaha ini perlu terus dilebarkan ke peringkat masyarakat serumpun dimulakan dengan masjid di Universitas Islam Riau, Indonesia,” katanya.
Sempena program sama juga, Tuanku Syed Faizuddin selaku Penaung Persatuan Woodball Perlis turut berkenan menyempurnakan gimik Pelancaran Klinik Woodball untuk pelajar Universitas Islam Riau bagi mempromosi dan mengetengahkan sukan ini yang boleh dimainkan oleh segenap lapisan usia masyarakat.- BERITA HARIAN
KOMEN