Home » Wacana » Tiga sifat yang dicintai Allah

Tiga sifat yang dicintai Allah

 مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُحِبَّهُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ فَلْيَصْدُقِ الْحَدِيثَ ، وَلْيُؤَدِّ الأَمَانَةَ ، وَلا يُؤْذِي جَارَهُ

Anas bin Malik RA berkata bahawa Rasulullah SAW pernah menerima kunjungan tetamu dari Bahrain. (Ketika waktu solat tiba) Baginda meminta dari salah seorang sahabat agar mengambilkan wuduk. Ketika Baginda berwuduk, para tamu itu bergegas menadah air wuduk Baginda dengan tangan lalu meminumnya. Sementara air yang jatuh ke tanah,diambil lalu diusapkan ke wajah, kepala, dan dada mereka.

Nabi SAW bertanya: “Apa yang membuat kamu melakukan seperti itu?” Mereka menjawab: ‘Cinta kami kepada engkau. Semoga Allah mencintai kami wahai Rasulullah.’ Maka Rasulullah SAW bersabda: Apabila kamu ingin dicinta Allah dan Rasul-Nya, maka hendaklah kamu memelihara tiga sifat baik (ini) iaitu jujur dalam bicara, melaksanakan amanat, dan bertetangga dengan baik kerana sesungguhnya (perbuatan) menyakiti tetangga akan menghapus seluruh pahala kebaikan sebagaimana panasnya matahari mencairkan air batu.” (HR al-Khila’I dalam al-fawa’id dan Albani dengan beberapa syahid yang ada dalam Mushannaf Abdurrazzaq, al-Mu’jam al-Awsith dan al-Kabir karya Thabrani, dan oleh Ibnu Mandah dalam al-Ma’rifah. Albani mengatakan hadis ini adalah hasan dengan dukungan sanad-sanad lainnya).

Penjelasan Hadis:

Dalam hadis ini, Nabi SAW menyebutkan tiga sifat terpuji yang dicintai Allah SWT dan Rasul-Nya.

  1. Jujur dalam berbicara

 Jujur dalam berbicara ialah memberitahu sesuatu sesuai dengan kenyataan. Nabi SAW menjelaskan bahawa jujur dalam berbicara mempunyai banyak manfaat. Antaranya adalah:

  • Membawa keberkatan.
  • Membuahkan kebaikan.

Jujur adalah sifat manusia utama

Abdullah bin ‘Amr bin ‘Ash RA berkata: Kami bertanya: “Wahai Nabi Allah, siapakah manusia paling utama? Baginda menjawab: ‘Setiap orang yang bersih hatinya dan jujur ucapannya.’  Para sahabat bertanya: Kami sedia maklum akan maksud jujur dalam ucapan, tetapi apa maksud orang yang bersih hatinya?’ Baginda bersabda:  ‘iaitu orang yang bertakwa, bersih, tidak ada keinginan berbuat dosa, tidak ada hasad dan dengki.” (HR Ibnu Majah).

Kejujuran adalah akhlak para nabi

Dalam kisah permulaan turunnya wahyu, Khadijah RA berkata kepada Rasulullah SAW: “Demi Allah, tidak akan terjadi apa-apa. Allah tidak akan membuatmu hina kerana engkau selalu menyambung sanak kerabat, berkata jujur, menolong fakir miskin, menghormati tetamu dan membantu orang-orang yang ditimpa musibah.” (HR Bukhari dan Muslim).

  1. Melaksanakan amanat

Abdullah bin Mas’ud RA berkata: “Terbunuh dalam perang fi sabilillah akan menghapus semua dosa kecuali dosa penyimpangan amanat. Kelak pada hari kiamat, seorang hamba dihadapkan pada pengadilan Allah termasuk siapa yang gugur dalam perang fi sabilillah, lalu dikatakan kepadanya: ‘Laksanakanlah amanatmu.’  Hamba itu berkata: ‘Wahai Tuhanku, bagaimana aku boleh melaksanakannya sedangkan dunia telah berlalu?’ Dikatakan kepada para penjaga: ‘Heretlah dia ke Hawiyah.’  Maka ia pun dibawa menuju Hawiyah. Kemudian amanat itu diperlihatkan kepadanya dalam bentuk sepertimana pada hari amanat tersebut diserahkan kepadanya di dunia. Hamba itu melihat lalu turun mengikuti amanatnya itu lalu menangkapnya. Hamba itu membawa amanat di atas pundaknya, hingga ketika ia mengira bahawa dirinya telah keluar dari Hawiyah, amanat  itu terlepas dari pundaknya, maka ia pun turun mengejarnya ke dalam Hawiyah selama-lamanya.’  Abdullah bin Mas’ud kemudian berkata: ‘Solat adalah amanat, wuduk adalah amanat, menimbang adalah amanat, menyukat adalah amanat dan menyampaikan barang titipan kepada yang berhak adalah amanat.”  (HR Ahmad dan Baihaqi).

  1. Bertetangga dengan baik

Bersumber dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, janganlah menyakiti tetangganya. Siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat hendaklah memuliakan tetamunya. Siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat hendaklah berkata baik atau (jika tidak mampu berkata baik) hendaklah diam.” (HR Bukhari dan Muslim).

Menyakiti orang lain secara umum adalah dosa, dan lebih dosa lagi menyakiti tetangga. Dalam Musnad Imam Ahmad diriwayatkan bahawa Miqdad bin Aswad RA berkata: “Suatu hari, Rasulullah SAW bertanya kepada beberapa sahabat Baginda: ‘Apa yang kamu katakan tentang zina?’  Mereka menjawab: ‘Haram. Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkannya. Ia haram hingga Hari Kiamat.’ Kemudian Rasulullah SAW bersabda: ‘Seorang lelaki berzina dengan sepuluh perempuan adalah lebih ringan dosanya daripada berzina dengan isteri tetangganya.’ Rasulullah SAW bertanya lagi: ‘Apa yang kamu katakan tentang mencuri?’ Mereka menjawab: ‘Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkannya. Ia adalah perbuatan haram.’ Rasulullah bersabda: ‘Seorang lelaki mencuri dari sepuluh rumah adalah lebih ringan dosanya daripada mencuri di rumah tetangganya.”

MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Ummu Atiyyah sokong keputusan MKI

Kuala Lumpur: Anak sulung kepada bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Ummu Atiyyah menyokong keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *