Home » Langit Terbuka » 31 pelajar Maahad Muhammadi Rantau Panjang dapat Mumtaz 10 mata pelajaran

31 pelajar Maahad Muhammadi Rantau Panjang dapat Mumtaz 10 mata pelajaran

RANTAU PANJANG 11 Jan. – Seramai 31 pelajar Maahad Muhammadi Rantau Panjang memperoleh keputusan Mumtaz bagi 10 mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU), tahun lalu.

Pelajar, Rusniah Suyee, 17, berkata, dia bersyukur kerana usahanya menumpu perhatian ketika dalam kelas banyak membantunya ketika menjawab peperiksaan berkenaan.

Menurutnya, dia banyak menghabiskan masa mengulang kaji pelajaran di rumah selepas menunaikan solat Isyak dan membaca al-Quran.

“Saya jarang keluar dan banyak habiskan masa di rumah, malah saya lebih suka ulangkaji pelajaran sendirian tanpa kelas tambahan berbayar kerana tidak mahu bebankan ibu bapa,” katanya.

Selain itu katanya, dia tidak mahu membazirkan gaji bapanya, Suyee Arong, 42 sebagai buruh dan ibu, Mariah Wan Chik, 41, yang bekerja sebagai jurujual, sedangkan ia boleh digunakan untuk keperluan lima lagi adiknya yang lain.

Katanya, dia akan berusaha mencapai kecemerlangan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun depan.

Rusniah yang juga anak sulung berkata, sekiranya cita-citanya untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading tercapai, dia berharap dapat menjejakkan kaki ke universiti awam tempatan.

Selain tidak mahu membebankan ibu bapa untuk memikirkan kos yang tinggi semata-mata pengajiannya di luar negara dari universiti luar negara Rusniah berkata, dia yakin kualiti universiti awam adalah setanding dengan universiti lain di Mesir mahupun Jordan.

Sementara itu, mudir, Zainudin Che Ismail berkata, ini merupakan kejayaan hasil usaha pelajar dan guru-guru di sekolah ini.

“Kami sangat berbangga dengan kejayaan mereka kerana mampu mencipta kecemerlangan dan mengharumkan nama baik sekolah dan keluarga.

“Mereka juga menjadi harapan kami untuk melakar kejayaan sama dalam SPM hujung tahun ini,” katanya.- SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *