KUALA LUMPUR: Tiga notis tata tindak diterima Malaysia daripada Amerika Syarikat (AS) membuktikan keberadaan suara rakyat dan kerajaan negara ini dalam mempertahankan hak asasi warga Palestin mendapat perhatian kuasa besar dunia.
Perkara itu dimaklumkan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz, sekali gus menggesa dukungan sepenuhnya diberikan kepada kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus memperjuangkan isu Palestin di pentas antarabangsa.
Malah, beliau berkata krisis kemanusiaan berlaku di Palestin menuntut seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama terus berjuang melangkaui batas perbezaan pendirian politik, latar agama serta bangsa.
“ABIM memandang berat kenyataan dimaklumkan Perdana Menteri ketika sidang Dewan Rakyat hari ini bahawa Malaysia menerima tiga notis tata tindak daripada AS menerusi kedutaannya kerana enggan menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas.
“Berdasarkan tindakan ini, ia jelas menunjukkan keberadaan suara rakyat dan kerajaan Malaysia dalam mempertahankan hak asasi warga Palestin sudah mendapat perhatian daripada kuasa besar dunia,” katanya.
Terdahulu BH melaporkan, Anwar mendedahkan Malaysia menerima tiga notis tata tindak daripada Kedutaan AS kerana keengganan negara menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas.
Perdana Menteri dilaporkan berkata, notis rasmi dipanggil demarche itu diterima Kementerian Luar masing-masing pada 13 dan 30 Oktober lalu.
Muhammad Faisal, berkata, demarche dalam konteks politik antarabangsa bermaksud tindakan protes secara rasmi yang dikemukakan menerusi saluran diplomatik.
“Justeru, menerusi solidariti masyarakat dunia terhadap rakyat Palestin semakin memuncak, sewajarnya dukungan sepenuhnya diberikan kepada kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, untuk terus memperjuangkan isu terbabit di pentas antarabangsa,” katanya.
KOMEN