KUALA LUMPUR 12 Feb. – Seramai 3.6 juta orang muda berusia 21 tahun ke atas termasuk golongan mahasiswa belum mendaftar sebagai pemilih untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Sumber Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, jumlah berkenaan mewakili 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi yang berdaftar iaitu seramai 14,806,185 orang.
“Sehingga kini lebih 14 juta pengundi sudah berdaftar berdasarkan data yang masih diguna pakai sehingga suku tahun ketiga 2017 berikutan data suku tahun keempat bagi 2017 yang belum diwartakan lagi.
“Pewartaan akan mengikut tempoh suku tahun iaitu suku pertama (Januari hingga Mac), suku tahun kedua (April hingga Jun), suku tahun ketiga (Julai hingga September) dan terakhir pada suku tahun keempat (Oktober hingga Disember).
“Jadi, seramai 14,806,185 pemilih layak mengundi sekiranya PRU-14 diadakan pada Mac, April atau Mei,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Katanya, bagi penentuan daftar pemilih mana yang akan diguna pakai ketika PRU-14 akan ditentukan pada Mesyuarat Khas yang akan diadakan selepas pembubaran Dewan Rakyat.
“Mereka yang masih belum mendaftar sebagai pemilih masih boleh berbuat demikian berikutan ia dibuka sepanjang tahun.
“Tiada halangan bagi mereka yang masih belum mendaftar sebagai pemilih untuk berbuat demikian selagi Daftar Pemilih belum diwartakan,” katanya.
Sumber berkata, tiada tarikh akhir yang ditetapkan bagi pendaftaran, namun proses keseluruhan pengesahan Daftar Pemilih akan mengambil masa selama empat hingga lima bulan mulai bulan pertama setiap suku tahun.
“Apabila sesuatu Ddaftar Pemilih itu diperakui dan diwartakan, ia menjadi muktamad dan tidak boleh lagi dipersoal atau dicabar di mana-mana mahkamah,” katanya. – BERITA HARIAN
KOMEN