Home » Langit Terbuka » 3.6 Juta Golongan Muda Enggan Daftar Mengundi

3.6 Juta Golongan Muda Enggan Daftar Mengundi

Tidak mahu terlibat dan dikaitkan dengan politik menjadi antara punca kira-kira 3.6 juta golongan muda berusia 21 tahun ke atas di negara ini enggan mendaftar sebagai pengundi. (foto: mynewshub)

SEREMBAN, 23 Jan. – Tidak mahu terlibat dan dikaitkan dengan politik menjadi antara punca kira-kira 3.6 juta golongan muda berusia 21 tahun ke atas di negara ini enggan mendaftar sebagai pengundi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah berkata, berdasarkan kajian yang dilakukan, keba­nyakan mereka memberi alasan mahu menjauhkan diri daripada politik sedangkan mereka sudah mencecah umur layak mengundi.

“Persepsi ini perlu diperbetulkan kerana mengundi adalah hak mereka sebagai warganegara untuk memilih parti politik bagi memerintah kerajaan dan memilih individu untuk menegakkan sistem demokrasi.

“Jumlah 3.6 juta orang itu adalah besar dan ia semakin bertambah. Sebab itu SPR menggunakan pendekatan turun padang memberi penerangan terutama di universiti kerana di situ ramai anak muda yang sudah berusia 21 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Ramah Mesra Pengarang Kanan dan Ke­tua Biro Utusan Malaysia Bersama Suruhanjaya Pilihan Raya di Klana Resort, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pe­ngarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad.

Sementara itu, Mohd. Hashim berkata, banyak perubahan yang dicadangkan SPR tidak dapat dilaksanakan dalam sistem pilihan raya di negara ini ekoran tidak dipersetujui oleh parti politik.

Katanya, ini termasuklah memperkenalkan undi bergerak yang melibatkan pegawai SPR datang membawa kertas undi ke rumah pengundi cacat dan uzur sekali gus memudahkan mereka membuang undi.

“Saya pernah rayu wakil rakyat pembangkang supaya bawa idea dan pandangan ini ke Parlimen. Tetapi tak dapat buat kerana kita begitu sensitif terhadap pilihan raya.

“Saya pergi Uzbekistan, hanya pegawai pilihan raya yang membawa tong undi bergerak, tiada parti politik ikut dan ia tidak dijadikan isu di negara tersebut,” katanya.

Mengulas mengenai persempadanan semula kawasan pilihan raya, beliau berkata, ia dilakukan setiap lapan tahun dengan mengambil kira pelbagai faktor antaranya kawasan geografi serta pertambahan populasi.

Mohd. Hashim menafikan persempadanan semula dibuat kerana dapat memberi kelebihan kepada mana-mana parti seperti didakwa sesetengah pihak.

“Apabila kita belah kawasan pilihan raya, kita tak tahu pe­ngundi di situ undi siapa. Bukan kerja SPR hendak tahu mereka undi siapa. Sebaliknya ia dibuat mengikut prinsip persempada­nan semula,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *