ALEPPO, 13 Dis. – Benteng terakhir penentang rejim Bashar al-Assad di timur Aleppo dilihat mula pecah dan akan berakhir, namun dendam tentera rejim kini menimbulkan kebimbangan pemerhati.
Tatkala, tentera rejim Syria dibantu Russia dan Iran mula menawan semula kawasan kejiranan dikuasai pemberontak, mereka dilaporkan mula menghukum mati penduduk yang disyaki mempunyai hubungan dengan penentang.
Saudara mara dan rakan mereka yang menyertai pemberontak, termasuk wanita dan kanak-kanak, antara yang dihukum bunuh, kata aktivis kemanusiaan di pusat media Aleppo, Mohammad Basbous.
“Setiap jam pembunuhan kejam dilakukan,” kata pemantau hak asasi manusia Syria, sambil menambah bukti laporan awal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan kekejaman terhadap sebilangan besar orang awam, dilakukan.
Bagaimanapun, tiada pihak rasmi yang boleh mengesahkan dakwaan hukuman mati yang dilakukan tentera rejim Assad.
Laporan itu hanya diterima selepas tentera rejim Syria menawan semula beberapa kejiranan di timur Aleppo, yang menjadi kubu terakhir pemberontak.
“Orang muda, terutamanya, dihukum mati,” kata pengarah hospital bagi Pertubuhan Bantuan dan Perubatan, memetik laporan doktor di Aleppo.
Penduduk yang ketakutan tidur di jalan raya dan kaki lima, selepas tentera Syria menghalau mereka dari rumah, kata seorang wartawan dan penduduk tempatan, Karam al-Masri.
Di tengah-tengah kekacauan itu, pasukan sukarela White Helmet, memohon bantuan komuniti antarabangsa bagi memastikan anggota mereka dan 100,000 orang awam, dapat keluar dari Aleppo dengan selamat.
“Pihak rejim cuba membunuh kami banyak kali sejak lima tahun lalu. Tolong jangan beri mereka peluang,” kata sukarelawan itu dalam Twitter mereka.
White Helmet memberitahu, mayat bergelimpangan di jalan raya dan di bawah runtuhan, sedang pengeboman terus dilakukan oleh tentera rejim.
“Kami mendengar kanak-kanak menangis. Kami mendengar panggilan meminta tolong, tetapi kami tidak mampu melakukan apa-apa. Ini mungkin menjadi permintaan kami yang terakhir,” kata pasukan itu.
Sebelum ini, agensi berita Syria, SANA, dan pemantau hak asasi manusia mengesahkan kejiranan al-Sheikh Saeed di tenggara Aleppo, jatuh ke tangan tentera rejim.
Ribuan orang awam dilaporkan mula melarikan diri dari perkampungan al-Sukkari, selepas kawasan mereka dibom hebat.
SANA melaporkan tentera meneruskan operasi dan menyasarkan pemberontak yang melarikan diri melalui al-Sukkari dan al-Fardous. – Agensi
KOMEN