Home » Ensiklopedia » Etnik Rohingya

Etnik Rohingya

Munculnya isu etnik Rohingya yang mencari perlindungan di negara ini pada awalnya disambut dengan rasa simpati oleh rakyat Malaysia. Namun, setelah jumlahnya dikatakan mencecah ribuan orang, ia mula mendatangkan kegusaran penduduk tempatan khususnya di kawasan-kawasan yang menjadi lokasi pendaratan mereka di sekitar Selat Melaka. Di laman sosial, gambar-gambar pelarian Rohingya yang bersesak-sesak di dalam sebuah kapal nelayan menjadi viral dan bualan hangat isu semasa.

Setelah didalami sejarah dan latar belakang Rohingya yang telah tertindas sekian lama, kita sewajarnya berasa  sedih mengenangkan mereka yang merupakan saudara sesama Islam kita tetapi dinafikan hak untuk menjalani kehidupan mereka di Myanmar.

Laporan-laporan akhbar memaparkan berita dan gambar bagaimana mereka berasak-asak di dalam kapal dengan muatan 8,000 orang tanpa bekalan makanan dan minuman dan beribu-ribu lagi yang terkapai-kapai di tengah lautan tanpa mengetahui arah pengakhiran perjalanan mereka. Tidak kurang pula yang yang dilaporkan terumbang-ambing di perairan.

Isu tentang Rohingya ini telah lama menjadi buah mulut. Dibincangkan, diseminarkan tetapi masih tiada tindakan jitu yang boleh diambil apabila Myanmar sendiri menolak untuk mengadakan rundingan dengan pemimpin-pemimpin negara Asia Tenggara khasnya. Malah kerajaan Myanmar sendiri tidak mengiktiraf Rohingya sebagai rakyat negara itu.

Sejarah etnik Rohingya ini bermula di bahagian utara negeri Arakan yang terletak di Barat Myanmar dan bersempadan dengan negara Bangladesh. Nama Arakan ini telah ditukar kepada Rakhine bagi mewakili etnik Rakhin yang beragama Buddha yang juga penduduk asal di situ. Aktiviti migrasi seperti perdagangan yang berlaku sejak abad ke-9 oleh pedagang telah membawa agama Islam ke Arakan. Oleh sebab itu, majoriti etnik Rohingya beragama Islam.

Susur galur Rohingya lahir daripada percampuran penduduk tempatan menerusi perkahwinan dengan penduduk Muslim dari Afghanistan, Parsi, Turki, Semenanjung Arab dan Bengal. Oleh sebab itu, wajah etnik Rohingya ini lebih mirip wajah orang India, Pakistan dan Benggali.

Bahasa yang dipertuturkan dinamakan Bahasa Rohingya yang mempunyai persamaan dengan Bahasa Bengali yang digunakan oleh penduduk di Chittagong, sebuah wilayah di Bangladesh. Walau bagaimanapun, bahasa ini adalah campuran daripada pelbagai bahasa seperti Bahasa Urdu, Hindi, Arab dan Bahasa Bamar yang dipertuturkan oleh masyarakat Myanmar majoritinya.

Mereka menjadi pelarian disebabkan faktor perlembagaan yang sering dipinda dan pemerintahan yang silih berganti termasuk kesan daripada penjajahan British yang membawa masuk buruh asing dari China, India dan Bangladesh.

Rohingya telah melalui episod duka yang panjang sejak 1983 apabila seramai 30,000 orang Muslim telah dibunuh pada 26 Julai 1938. Tragedi hitam itu terus berulang pada tahun 1942, 1968, 1992 dan 2012.

Pada tahun 1982, secara tiba-tiba Muslim Rohingya diisytiharkan sebagai pendatang asing di negara sendiri. Muslim Rohingya ditindas melalui undang-undang “Burma Citizenship Law of 1982” yang bersifat perkauman agama dan penuh diskriminasi yang diluluskan oleh pemerintah junta Burma pada tahun 1982.

Undang-undang ciptaan ini mengakibatkan golongan muslim Rohingya tidak diiktiraf sebagai warganegara, malah diisytiharkan sebagai ‘pendatang’ di tanahair mereka sendiri. Oleh yang demikian, hak mereka dinafikan, malahan ada yang ditangkap, dipukul dan pelbagai kekejaman lain yang dikenakan kepada mereka.

Sejak diluluskan ‘Burma Citizenship Law’ ini juga, anak-anak muslim telah dinafikan hak pelajaran mereka. Undang-undang ini juga telah menyebabkan bukan sahaja mereka tidak dapat menyambung pelajaran, malah ada yang langsung tidak dapat belajar ekoran daripada tekanan ekonomi, penangkapan, penyeksaan dan sebagainya.

Tambah menyedihkan ialah wanita Islam tidak dibenarkan memakai hijab dan ramai di antara mereka yang ditindas, didiskriminasi, dirogol dan sebagainya. Bukan itu sahaja,  masyarakat Islam di sana turut dinafikan hak dari segi perubatan sama ada di hospital mahupun di klinik-klinik dan mereka dipaksa membayar dengan harga yang terlampau tinggi untuk setiap kos rawatan yang ingin mereka dapatkan.

Tambah memilukan ialah masyarakat Islam juga tidak dibenarkan menunaikan haji ataupun menyembelih korban semasa menyambut kedatangan Aidiladha, justeru mereka tidak dapat menjalani kehidupan sebagai seorang muslim yang bebas melaksanakan ajaran agamanya.

Situasi yang amat sukar seumpama ini menyebabkan golongan muslim Rohingya terpaksa melakukan penghijrahan dengan menjadi pelarian ke negara-negara seperti Bangladesh, Pakistan, United Arab Emirates, Arab Saudi, Thailand dan Malaysia.

Sehingga kini, dilaporkan seramai  1 juta umat Islam Rohingya telah menjadi pelarian di seluruh dunia termasuk Arab Saudi seramai 400,000 orang,  Bangladesh seramai 300,000 hingga 500,000 orang, Pakistan seramai 200,000 orang, Thailand seramai 100,000 orang dan Malaysia seramai 40,700 orang. Manakala seramai 2 juta umat Islam Rohingya dilaporkan masih berada di Arakan. Mereka dikatakan menetap dalam khemah pelarian yang terletak antara Myanmar dan Bangladesh.

Episod duka yang terpaksa diharungi oleh muslim Rohingya ini adalah lambang  kebencian Buddha Myanmar terhadap Islam. Mereka melihat umat Islam ini sebagai ancaman yang harus dihapuskan dari muka bumi Myanmar. Kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negara Myanmar pada 1992 jelas mengukuhkan pendirian mereka bahawa etnik Rohingya sama sekali tidak tercatat di dalam sejarah negara mereka.

Perubahan nama asal Arakan kepada Rakhine pada tahun 1989 menggambarkan usaha junta tentera untuk mengubah asal-usul Rohingya yang juga merupakan penduduk asli Myanmar. Mereka didakwa sebagai pendatang dari Bangladesh yang telah diletakkan oleh British di situ.

Menghairankan, kenapa tidak kedengaran suara-suara mereka yang berjuang atas tiket hak asasi? Isu Rohingya adalah isu pencabulan hak asasi manusia yang seharusnya diperjuangkan bukan hanya membisu seribu kata. Aung San Suu Kyi yang merupakan pejuang demokrasi dan pejuang kebebasan rakyat Burma hanya mampu bertindakbalas hanya dengan berkata saya tidak tahu. Kita harus perjelas dulu tentang undnag-undang kewarganegaraan seperti apa dan siapa yang mempunyai hak untuk (status warganegara) tersebut. Sekiranya pernyataan itu yang digunapakai, mampukah kedudukan etnik ini dibela?

Mereka giat melakukan kerja-kerja yang dikatakan ‘pembersihan etnik’ tanpa merasa bersalah kerana membunuh dan membakar orang muslim Rohingya yang tidak bersalah. Biksu Wirathu yang diangkat sebagai ikon demokrasi Myanmar melahirkan ketakutan yang Myamnar akan mengikut jejak langkah Indonesia setelah Islam masuk ke negara tersebut pada abad ke-16. Pada akhir abad ke-16, Islam telah berjaya menggantikan agama Hindu dan Buddha sebagai agama dominan di kepulauan Indonesia. Oleh sebab itu, mereka memerangi Islam Rohingya walau dengan apa cara sekalipun.

Ketakutan mereka terhadap Islam sangat jelas sedangkan etnik ini tidak pernah melakukan keganasan terhadap penganut dan fahaman agama lain.

Artikel Berkaitan

Selangor sediakan modul khas pulihkan ahli GISB

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kini dalam fasa memulihkan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *