Home » Langit Terbuka » 22 terkorban di Iran

22 terkorban di Iran

Bantahan kenaikan harga barang bertukar demonstrasi antikerajaan

TEHERAN 2 Jan. – Tunjuk perasaan di Iran yang bermula sejak enam hari lalu dilaporkan semakin menjadi-jadi dan tidak menunjukkan sebarang tanda akan berhenti dalam masa yang terdekat.

Sembilan dilaporkan terbunuh malam semalam.

Bantahan yang bermula Khamis lalu di bandar Mashhad, pada awalnya tercetus akibat kemarahan terhadap kenaikan harga barang dan ra­suah sebelum merebak kepada antikerajaan dengan sekurang-kurangnya 22 orang kini disahkan terbunuh manakala kira-kira 450 lagi ditahan oleh pihak berkuasa.

The Guardian melaporkan antara yang terbunuh termasuk kanak-kanak ber­usia 11 tahun dan seorang anggota polis.

Daripada jumlah yang terbunuh, enam penunjuk perasaan maut dalam kejadian yang disifatkan sebagai cubaan untuk merampas senjata dari balai polis.

Timbalan Gabenor Teheran, Ali-Asghar Naserbakht berkata, seramai 200 orang diberkas pada hari kedua tunjuk perasaan.

Katanya, kira-kira 150 penunjuk perasaan lain ditahan sejak kelmarin manakala ba­kinya pula ditahan semalam.

“Kami percaya situasi di Iran kini lebih baik berbanding beberapa hari lalu. Situasi semalam contohnya adalah lebih tenang,” dakwa beliau.

Seperti beberapa hari lalu juga, polis terpaksa menggunakan gas pemedih masa serta meriam air untuk menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan yang berkumpul di Engheleb Square, Teheran.

Situasi sama dilaporkan turut berlaku di beberapa buah bandar lain di seluruh Iran apabila penunjuk perasaan bertempur dengan polis hingga memaksa pihak berkuasa terpaksa menggunakan kekerasan untuk meredakan keadaan.

Laporan BBC mendakwa tunjuk perasaan yang berlaku di beberapa buah seluruh Iran adalah yang terbesar sejak pertikaian tentang pilihan raya presiden pada tahun 2009.

Sementara itu, beberapa penunjuk perasaan mendakwa, tindakan mereka berhimpun di jalanan itu sebagai alternatif untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan, lapor Al-Jazeera.

“Ini (tunjuk perasaan) adalah lebih baik daripada berdiam diri,” kata Milad yang terkena semburan gas pemedih mata oleh pihak berkuasa dalam tunjuk perasaan itu. – AGENSI, UTUSAN

Artikel Berkaitan

Ummu Atiyyah sokong keputusan MKI

Kuala Lumpur: Anak sulung kepada bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Ummu Atiyyah menyokong keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *