MANCHESTER 23 Mei – Militan Daesh mengaku bertanggungjawab terhadap pengeboman di Manchester Arena tetapi tidak mengemukakan sebarang bukti berkaitan, kata unit anti-pengganas Amerika Syarikat (AS).
Menurut laporan CNN, militan Daesh memuatnaik satu kenyataan melalui Telegram mengatakan ‘askar khalifahnya yang meletakkan bom’ di Manchester Arena, malam semalam.
Kenyataan tersebut tidak menyertakan sebarang foto, menyebut nama atau maklumat lanjut yang lain.
Setakat ini, angka korban pengunjung konsert Ariana Grande tersebut meningkat kepada 22 orang.
Ratu Elizabeth pula mengucapkan simpati dan terima kasih kepada warga Britain yang memberikan kerjasama dalam kejadian tersebut.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada petugas kecemasan yang membantu dengan penuh ihsan dan profesional,” kata Ratu Elizabeth.
Sementara itu, polis Greater Manchester menahan seorang lelaki berumur 23 tahun yang didakwa mempunyai kaitan dengan pengeboman berkenaan.
“Seorang lelaki ditahan di Arndale Centre,” kata polis melalui akaun Twitter @gmpolice.
Perdana Menteri, Theresa May berkata, polis percaya pengebom bertindak seorang diri, tetapi masih dalam proses mengesahkan perkara tersebut.
Identiti pengebom juga telah dikenal pasti tetapi tiada sebarang nama didedahkan.- Â www.sinarharian.com.my
KOMEN