SERAMAI 22 mahasiswa Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) termasuk enam mahasiswi akan ke sempadan Turki-Syria di Reyhanli bagi menyantuni pelarian Syria di wilayah Hatay itu malam ini.
Kumpulan huffaz al-Quran bersama seorang pensyarah itu akan ke Reyhanli bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) bagi memberikan bantuan musim sejuk yang suhu ketika ini boleh mencecah sehingga -5 darjah Celsius.
Penyelaras Program yang juga pelajar tahun dua Ijazah Pengajian Al-Quran dan Sunnah, Muhammad Fahmi Arshad, 23, berkata program berkenaan juga sebagai memenuhi kredit bagi melengkapkan keperluan ijazah ditetapkan universiti.
“Persoalan kenapa kami memilih mangsa konflik di Syria? Antara sebabnya selain keperluan membantu sesama muslim, kami berhasrat memperkenalkan Darul Quran USIM ke peringkat antarabangsa.
“Lebih-lebih lagi sememangnya sudah ada program pertukaran pelajar kami dengan universiti di Turki. Syria pula amat istimewa di hati kami sebab Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa tanah Syam itu bumi yang diberkati.
“Ketika ini rakyat negara berkenaan dalam penderitaan selepas Syria bergolak sejak 2011 berikutan pemberontakan rakyat terhadap kerajaannya. Jutaan menjadi pelarian dan mendapatkan perlindungan khususnya di negara jiran,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, pihak Muslim Care dan USIM sudah memaklumkan misi berkenaan kepada Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di Ankara sebagai persediaan berhubung isu keselamatan.
Ini kerana, katanya, Reyhanli baru lagi dikejutkan dengan serangan roket 21 Januari lalu yang menyebabkan seorang awam terbunuh dan 46 lagi mengalami kecederaan.
Mereka dijadualkan menaiki pesawat Turki Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 11.55 malam ini untuk hampir 11 jam penerbangan ke Istanbul sebelum mengambil penerbangan ke Hatay dan seterusnya ke Reyhanli.
Sementara itu, Presiden Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care), Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya turut membawa bekalan bantuan berupa makanan serta baju sejuk selain sumbangan lain yang keseluruhannya berjumlah RM350,000 termasuk RM40,000 hasil kutipan Darul Quran USIM.
Katanya, bantuan untuk Syria adalah berterusan justeru sumbangan rakyat Malaysia boleh dilakukan menerusi akaun Muslim Care 564490413882 (Maybank), 14014010147470 (Bank Islam) atau hubungi Setiausaha Agung Muslim Care Zakaria Abd Latif di talian 0126935938. – HARIAN METRO
KOMEN