CYBERJAYA – Seramai 21 pelatih Daie Muda Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (DMY) telah menamatkan kursus Tekno Daie selama lima hari di Universiti Multimedia (MMU) di sini.
Kursus bertujuan melahirkan pendakwah muda yang mahir menerbitkan video itu dianjurkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama MMU dan TV Al Hijrah bermula 22 Jun.
Dalam majlis penutupan pada 26 Jun, Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz ketika berucap menyeru para pelatih DMY ini agar menggunakan ilmu pengetahuan yang telah dipelajari di MMU ini dengan sebaiknya di jalan dakwah.
“Gunakan ilmu yang diperolehi dengan untuk kebaikan orang sekeliling kita, sebar dan ajar pengetahuan kita ini dengan orang ramai, lebih lebih lagi dalam suasana yang kini amat bergantung dengan teknologi, ”katanya.
Hadir sama di majlis penutupan kursus ini ialah Pengarah Kanan Sektor Latihan dan Perkaderan YADIM, Kapten (B) Shamsuddin Moner, Penolong Penerbit TV Al Hijrah, Fazlah Jani Mohamad, Pengarah Kursus yang juga pensyarah di MMU, Mohamad Syahmi Abdul Aziz dan Ketua Penyelaras DMY, Khusnaini Mongin.
Dalam pada itu kata Nik Omar lagi, YADIM sedang serius melihat keperluan untuk menjadikan kursus di MMU ini sebagai satu latihan secara berkala yang diadakan setiap tahun untuk para pelatih DMY.
Cadangan itu disambut baik oleh Syahmi yang berkata, pihaknya bersedia bekerjasama lagi dengan YADIM untuk melatih pendakwah pendakwah muda yang mahir dengan teknologi terkini.
“Kami gembira dengan kerjasama yang terjalin ini, mungkin tahun depan kita boleh tambah baik kursus dengan masukkan elemen kajian reka bentuk umpamanya, atau panjangkan lagi tempoh kursus,” ujar beliau.
Kursus penerbitan vieo ini adalah merupakan salah satu modul wajib dalam latihan DMY yang bertujuan melahirkan tekno daie yang memanfaatkan teknologi dalam berdakwah.
Antara yang didedahkan dalam kursus ini ialah pengiklanan kreatif, lakaran papan cerita (story board), asas teknologi layar hijau (green scree), rakaman studio, penulisan skrip dan sebagainya.
KOMEN