Home » Langit Terbuka » 2016 tahun terburuk bagi kanak-kanak Syria – UNICEF

2016 tahun terburuk bagi kanak-kanak Syria – UNICEF

DAMSYIK 13 Mac – Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dalam laporannya menyifatkan 2016 sebagai tahun pa­ling menyedihkan untuk kanak-kanak Syria.

Kenyataan itu dibuat berdasarkan pertambahan jumlah kanak-kanak yang didera, dibunuh atau direkrut untuk menyertai kumpulan pengganas berbanding tahun sebelumnya.

Al-Jazeera yang memetik laporan tersebut mendedahkan, sepanjang tahun lalu, sekurang-kurangnya 652 kanak-kanak telah dibunuh, memperlihatkan satu peningkatan yang ketara berbanding tahun 2014.

Daripada jumlah itu, seramai 255 orang dipercayai mati di sekolah atau berhampiran dengan pusat pendidikan terbabit.

Jumlah kematian sepanjang tahun lalu juga dikatakan 20 peratus lebih tinggi berbanding dua tahun lalu manakala sekurang-kurangnya 647 kanak-kanak pula dilaporkan cedera dalam tempoh yang sama.

Laporan yang sama mendedahkan bahawa, sekurang-kurangnya 338 serangan dilancarkan ke arah hospital dan pegawai perubatan yang berkenaan.

Dalam pada itu, Pengarah Wilayah UNICEF, Geert Cappelaere memberitahu, tahap pen­deritaan yang dialami oleh kanak-kanak Syria itu tidak pernah dialami sebelum ini.

“Berjuta-juta kanak-kanak ini di­serang hampir setiap hari hingga menyebabkan kehidupan mereka kini terumbang-ambing,” kata Cappelaere.

Laporan UNICEF itu turut menyebut, lebih 850 kanak-kanak direkrut untuk menyertai medan perang sepanjang tahun lalu mewakili pertambahan hampir dua kali ganda berbanding pada tahun 2015.

Ketika ini, lebih daripada 2.3 juta kanak-kanak Syria tinggal sebagai pelarian di beberapa buah negara termasuk Turki, Lebanon, Jordan, Mesir dan Iraq.

Mereka yang masih kekal atau berjaya pulang ke kampung halaman masing-masing pula tidak terlepas daripada berdepan risiko tinggi yang boleh mengancam nyawa mereka.- https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *