BUKIT MERTAJAM: “Semalam adalah ulang tahun hari lahir saya yang ke-49. Pada hari sama juga, saya menerima berita duka anak kedua sudah tiada selama-lamanya akibat kemalangan.”
Berita sedih itu diterima Datin Roziah Hashim, ibu kepada Ameer Hakimi Azman, 20, yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Garuda Sakti, Pekanbaru, Riau, Indonesia, semalam.
Dalam kejadian jam 3.30 petang (waktu tempatan), Ameer Hakimi bersama rakannya, Mohammad Shaiful Bukhari Amat, 25, meninggal dunia selepas motosikal ditunggangi mereka terlanggar sebuah lori yang berhenti di tengah jalan laluan terbabit.
Kedua-dua mangsa adalah pelajar Malaysia yang sedang mengikuti pengajian dalam jurusan Undang-undang Keluarga Islam dan Bimbingan Kaunseling Islam di Universiti Islam Negeri Sultan Syarif Kasim, Riau.
Roziah, 49, berkata beliau mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan telefon daripada suaminya yang juga bekas Pengurus Besar Zakat Pulau Pinang (ZPP), Datuk Dr Azman Abdul Samat.
Ketika itu, katanya, beliau baru sampai di Kota Kinabalu, Sabah, untuk menghadiri kursus bersama rakan guru yang lain, namun terus bergegas pulang ke rumah di Permatang Rambai, Permatang Pauh di sini, malam tadi.
“Sebagai ibu, saya reda dengan pemergiannya dan ini adalah takdir yang perlu dilalui kami sekeluarga.
“Ameer sepatutnya pulang ke tanah air pada Disember lalu. Bagaimanapun, pusat pengajiannya menukar jadual pembelajaran dengan mempercepatkan kuliah dan peperiksaan yang membolehkan dia menamatkan semester kedua lebih awal serta menyambut Ramadan bersama keluarga, namun ia tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Roziah berkata, suaminya baru pulang daripada melawat anak kedua daripada enam beradik itu, Jumaat lalu.
“Arwah seorang yang manja dan kerap menghubungi saya serta bapanya melalui aplikasi WhatsApp sehingga suami mengambil keputusan pergi melawat Ameer selama tiga hari sebelum pulang pada Jumaat lalu.
“Saya tidak dapat ikut sekali kerana bertugas mengajar dan suamilah yang menceritakan segala perkembangan Ameer di sana. Kami terkejut kerana baru dua hari pulang daripada melawat anak, terus mendapat berita tidak diduga ini,” katanya.
Jenazah Ameer Hakimi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Pasir secepat mungkin apabila tiba di tanah air.
Di Beluran, bapa Mohammad Shaiful Bukhari, Amat Saruna, berkata anak sulungnya itu berada dalam tahun akhir pengajian dan sepatut menggenggam ijazah pada Ogos depan.
Katanya, kali terakhir beliau bertemu dengan arwah ialah Mac lalu ketika pulang bercuti di kampung sebelum kembali ke Indonesia pada 17 Mac.
“Besar harapan saya kepada arwah, namun Allah lebih menyayanginya. Tidak dapat digambarkan kesedihan saya,” katanya ketika dihubungi NSTP.
Beliau berkata, jenazah Mohammad Shaiful Bukhari akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Muanad Satu, di sini.
Sementara itu, jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia berkata, ekoran kemalangan berkenaan, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Aulia yang terletak berhampiran lokasi kejadian.
“Saiful disahkan meninggal dunia jam 5 petang ketika dalam perjalanan ke Hospital Aulia, manakala Ameer dipindahkan ke Rumah Sakit Dr Sebastian berdasarkan jangkaan awal pihak hospital bahawa kecederaannya tidak terlalu serius.
“Namun, pemeriksaan lanjut mendapati bahawa mangsa itu mengalami kecederaan parah pada tulang rusuk sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 5.35 petang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jurucakap itu berkata, jenazah mangsa diterbangkan dari Pekanbaru, kira-kira jam 6.30 petang tadi, sebelum menaiki pesawat seterusnya dari Jakarta, Indonesia, ke Malaysia pada awal pagi esok.
“Jenazah Mohammad Shaiful Bukhari kemudian akan dibawa pulang ke Sabah menggunakan penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Subang, pagi esok.
“Jenazah Ameer Hakimi pula akan dibawa pulang menggunakan jalan darat oleh keluarga arwah selepas tiba di Malaysia,” katanya.
Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia Di Indonesia Cawangan Pekanbaru (PKPMI-CPB) Sesi 2017/2018 dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan jenazah mangsa akan dibawa ke Jakarta untuk urusan dokumentasi sebelum dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan pula mengesahkan kemalangan berkenaan dan memaklumkan Konsulat Malaysia di Pekanbaru menghulurkan bantuan bagi menguruskan jenazah dibawa balik dengan segera. – BERITA HARIAN
KOMEN