SUNGAI PETANI – Sebanyak 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan Islam menghadiri mesyuarat Halaqah Ilmi di Pejabat Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Zon Utara.
Eksekutif Kanan Yadim Zon Utara, Zuhri Husin berkata, Halaqah Ilmi diadakan bertujuan sebagai penyelaras gerak kerja dakwah bagi membantu kerajaan dalam isu dakwah serta membanteras gejala kurang sihat dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, menerusi perbincangan terbabit, pelbagai program akan diatur antaranya dialog antara agama harmoni, seminar keluarga impian, seminar pemurnian akidah, program wanita dan perundangan, program wanita dan kepenggunaan, program dakwah bukan Islam dan profil asnaf.
“Pihak NGO Islam ini memandang berat ke arah membanteras gejala sosial dalam kalangan masyarakat khususnya masalah moral generasi muda yang boleh membawa kepada keruntuhan keluarga serta akhlak remaja,” katanya.
Menurutnya, kerjasama berkenaan akan diteruskan bagi mewujudkan jalinan kesepakatan antara satu sama lain di samping memperkukuhkan ikatan persaudaraan antara NGO Islam sendiri. – SINAR HARIAN
KOMEN