SIJANGKANG – Sempena menyambut hari Malaysia pada 16 September, Sukarelawan YADIM (SAY) Kuala Langat bersama Pertubuhan Rumah Anak – Anak Yatim Sijangkang (RAYAS) telah bekerjasama mengadakan beberapa program menyantuni masyarakat.
Seawal 8 pagi, program dimulakan dengan bacaan doa selamat sebelum acara pelepasan konvoi bermotosikal SAY Kuala Langat oleh penceramah bebas, Ustaz Hisham Sauti.
Pada sambutan Hari Malaysia ini, SAY Kuala Langat berkonvoi menaiki motosikal menyantuni 15 buah keluarga ibu tunggal yang mempunyai anak yatim.
Ada yang terharu dengan kedatangan konvoi SAY Kuala Langat menghulurkan sumbangan.
“Saya tidak menyangka sebegini ramai yang datang mengunjungi dan membantu keluarga saya,” luah salah seorang ibu tunggal yang disantuni.
Hadir dalam program ini, Pengerusi SAY Kuala Langat, Hasmawi Mahidin dan Pengerusi RAYAS, Haji Asrin Ishak.
SAY Kuala Langat akan terus komited menyantuni segenap lapisan masyarakat sekeliling yang memerlukan bantuan.
KOMEN