Home » Langit Terbuka » 12 perkara dirumuskan hasil PISD 2018

12 perkara dirumuskan hasil PISD 2018

Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya (PISD). Foto : https://i1.wp.com/en.mirajnews.com

PUTRAJAYA6 Jan. – Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim hari ini membentangkan Kenyataan Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya (PISD) 2018 di sini.

Beliau berkata, kandungan kenyataan itu dirumuskan daripada beberapa kertas kerja yang dibentangkan oleh penceramah yang juga pakar bidang keganasan dari pelbagai negara yang menyertai PISD 2018.

Dialog dua hari itu, yang dianjurkan KDN dengan kerjasama Rabitah Al-Alami Al-Islami (Liga Dunia Islam), sebuah organisasi bukan kerajaan di Arab Saudi, disertai lebih 1,000 peserta dari 14 negara.

“Ia sememangnya satu acara yang sangat berjaya,” kata beliau pada sidang berita selepas majlis penutupan PISD yang bertemakan ‘Kebijaksanaan dan Kesederhanaan Dalam Membanteras Keganasan’.

Beliau berkata kenyataan PISD 2018 adalah seperti berikut:

(1) Kemajuan teknologi maklumat dan trend keganasan semasa memerlukan kami untuk meningkatkan lagi strategi dan kaedah dalam menangani ancaman;

(2) Menangani radikalisme dan ekstremisme memerlukan pendekatan lembut dan keras yang  holistik;

(3) Membanteras keganasan memerlukan langkah  menentang naratif ideologi dan ekstremis dengan menggunakan pelbagai pendekatan termasuk pendidikan dan pemulihan dalam talian mengikut tahap pemahaman masyarakat;

(4) Memperkenalkan pendekatan ‘Wasatiyyah’ mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah langkah yang amat penting;

(5) Membanteras keganasan  memerlukan pendekatan perundangan dengan memelihara hak asasi manusia;

(6) Nilai-nilai politik umum perlu dikongsi dan ditangani dalam kalangan  negara Islam dan bukan Islam melalui program antara  agama, dialog dan debat berterusan sebagai usaha kolektif untuk memerangi keganasan dan menggalakkan keharmonian;

(7) Program deradikalisasi dan pemulihan holistik perlu dilaksanakan secara kerjasama besar di pelbagai peringkat termasuk agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkenaan selain masyarakat dan unit keluarga;

(8) Cara pemikiran alternatif memerlukan bahasa kesederhanaan baharu untuk memahami satu sama lain serta menggalakkan toleransi dalam berdepan perbezaan;

(9) Membanteras  ideologi takfiri seperti menuduh satu sama lain adalah penting bagi menangani isu keganasan dalam kalangan umat Islam;

(10) Memperkenalkan kerjasama dan kolaborasi antara negara-negara dalam pelbagai aspek inisiatif memerangi keganasan;

(11) Memperkasa komuniti ulama dan tokoh agama, masyarakat dan ahli akademik bagi mencabar naratif ekstremis; dan,

(12) Kerjasama antarabangsa perlu dipertingkatkan lagi untuk menangani pembiayaan pengganas. – Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *