Home » Langit Terbuka » 110 mati kebuluran di Somalia

110 mati kebuluran di Somalia

MOGADISHU – SOMALIA, 6 Mac -. Sekurang-kurangnya 110 mati kebuluran di Somalia dalam tempoh lebih 48 jam di tengah-tengah kemarau yang sedang melanda negara Afrika Timur terbabit.

Kelmarin, Perdana Menteri, Hassan Ali Khayre mengumumkan perkara mengejutkan itu ketika mesyuarat bersama Jawatankuasa Kemarau Kebangsaan selain turut memberitahu kesemua kematian itu berlaku di wilayah Bay.

Difahamkan, ia adalah jumlah kematian rasmi pertama yang didedahkan kepada umum oleh Mogadishu sejak Presiden Mohamed Abdullahi Farmajo mengisytiharkan kemarau sebagai ‘bencana kebangsaan’ pada 28 Februari lalu.

Sehari sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran terhadap insiden kebuluran yang mungkin berulang dan telah meragut sekurang-kurangnya 260,000 nyawa di seluruh Somalia pada 2011.

Jelas agensi itu, lebih 6.2 juta penduduk termasuk 70,000 kanak-kanak yang mengalami masalah kekurangan zat makanan kini memerlukan bantuan kemanusiaan segera.

Ribuan penduduk telah membanjiri ibu negara untuk mendapatkan bantuan makanan dan lebih 7,000 penduduk  hilang tempat tinggal turut mendapatkan perlindungan di sebuah pusat bantuan makanan, baru-baru ini.

Insiden kemarau itu telah membawa kepada penyebaran akut, cirit birit, taun dan demam campak di beberapa wilayah di seluruh negara.

Dianggarkan, 5.5 juta penduduk kini berisiko dijangkiti penyakit bawaan air akibat kekurangan bekalan air bersih di kebanyakan kawasan. – Agensi

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *