KUALA LUMPUR: Seramai 107 peserta berusia 12 tahun hingga 25 tahun dari seluruh negara bertanding dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2018, yang berlangsung sejak semalam di Kompleks Islam Putrajaya (KIP).
Berlangsung selama enam hari sehingga 6 April, MTHQK kali ini membabitkan penyertaan 14 qari dan 14 qariah bagi kategori tilawah, manakala seramai 42 peserta lelaki dan 37 wanita untuk kategori menghafaz al-Quran.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam kenyataan hari ini berkata, penganjuran MTHQK edisi tahun ini akan memberi lebih cabaran kepada peserta.
“Pada penganjuran pada kali ini, jemaah hakim menetapkan semua peserta kategori tilawah diwajibkan membaca al-Quran secara bertaranum dengan dua jenis lagu secara berturut-turut dan ia perkara yang agak mencabar bagi peserta.
“Tujuannya adalah supaya semua peserta lebih mendalami ilmu bertaranum al-Quran, yang pastinya akan memberi nilai tambah kepada mereka.
“Bagi kategori menghafaz pula, setiap negeri akan menghantar enam wakil bagi semua kategori menjadikan jumlah keseluruhannya adalah seramai 79 orang peserta.” katanya.
Penilaian jemaah hakim akan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha, bersama 15 hakim bagi kategori tilawah dan 17 hakim kategori hafazan.
MTHQK 2018 akan disiarkan secara langsung menerusi dua saluran televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV AlHijarah, iaitu bagi kategori Tilawah mulai 2 hingga 6 April, jam 8.30 malam (RTM), manakala bagi kategori menghafaz pada 1 hingga 5 April jam 9 pagi (TV AlHijrah).
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dijangka menyempurnakan majlis penutupan dan penyampaian hadiah yang dijadualkan berlangsung Jumaat ini.
Juara Qari dan Qariah kategori tilawah, masing-masing akan membawa pulang hadiah berjumlah wang tunai RM 15,000; kereta Proton Ertiga; piala iringan dan tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan haji.
Juara peserta lelaki dan wanita bagi kategori hafazan (Juzuk 1 hingga 30), masing-masing bakal memenangi hadiah wang tunai RM 15,000; kereta Perodua Axia; piala pusingan dan tambahan wang tunai RM10,000 untuk haji. – BERITA HARIAN
KOMEN