PETALING JAYA: Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 yang berakhir hari ini, bersetuju bahawa agama harus dipisahkan daripada perbuatan merosakkan yang dilakukan oleh sebahagian penganutnya.
Itu antara 10 resolusi penemuan yang dipersetujui, sepanjang sehari persidangan berlangsung, disampaikan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff petang tadi.
Hakimah berkata, persidangan juga bersetuju bahawa kebencian dan perkauman adalah sentimen ganas yang mendedahkan kecacatan besar dalam pemahaman konsep agama, kebangsaan dan sivil.
“Sentimen sebegitu adalah penghasut terbesar ke arah keganasan dan perpecahan. Mereka juga adalah punca utama mengapa perpaduan moral manusia sering terjejas.
“Agama tidak boleh diambil kesempatan dalam mencapai apa-apa tujuan yang menyimpang daripada tujuan rohani dan nilai-nilai istimewa yang dibawa dalam ajarannya, serta nilai-nilai umum yang mewakili nilai-nilai agama yang dikongsi dengan orang lain, atau nilai-nilai umum manusia,” katanya dalam ucapan di akhir persidangan itu.
Beliau berkata, persidangan juga bersetuju bahawa dialog berkesan berdasarkan pendekatan beradab adalah cara terbaik menyelesaikan konflik.
“Dialog sebegini boleh meningkatkan kepercayaan, memperkukuh kasih sayang dan mewujudkan kerjasama di kalangan semua. Juga dialog yang berkesan dengan niat baik adalah cara terbaik untuk menangani ideologi ekstremis.
“Selain itu, dialog yang berkesan juga adalah cara terbaik untuk mengatasi kesan persepsi negatif akibat permusuhan sejarah,” katanya.
Justeru itu, katanya persidangan turut merumuskan tujuh resolusi cadangan antara lain mengecam semua amalan ekstremis dan keganasan terhadap mana-mana penganut agama dan menyokong semua inisiatif murni yang dapat menangkis amalan itu.
Katanya, persidangan juga menyeru institusi agama di seluruh dunia memupuk sifat pemaaf dalam kalangan masyarakat dalam mengukuh ikatan perpaduan dan persaudaraan, disamping menolak ekstremisme yang berupaya menimbulkan kebencian serta mengambil kesempatan daripada agama untuk mencetuskan krisis dan konflik.
“Kami menyeru institusi kebangsaan dan agama menghadapi semua bentuk diskriminasi dan pengecualian terhadap agama, budaya dan etnik minoriti serta berusaha mewujudkan perundangan kukuh dan berkesan untuk menggalakkan nilai kasih sayang dan pemaaf.
“Kami juga menyeru institusi negara memberi perhatian kepada kualiti pendidikan, kerana kedua-duanya adalah institusi penting dalam membentuk minda anak muda,” katanya.
Selain itu katanya, persidangan juga menyeru pelbagai platform berpengaruh terutamanya media, supaya sentiasa mengambil berat akan tanggungjawab moral yang diamanahkan kepadanya, kerana mereka adalah institusi paling berpengaruh dalam membentuk pendapat umum.
KOMEN