Home » Wacana » Keindahan Islam pada watak

Keindahan Islam pada watak

Oleh SIDEK BABA

Islam adalah agama yang indah. Ia terletak kepada cerminan watak yang dimiliki. Watak dan pekerti yang baik memberi gambaran terhadap kebaikan Islam itu sendiri. Seorang yang jujur, amanah, adil, tulus dan telus adalah gambaran orang yang beriman dan bertakwa. Ia memberi kebaikan kepada dirinya sendiri dan juga orang lain.

Pekerti yang baik adalah gambaran diri yang fitrah. Diri yang berjiwa fitrah mempunyai kualiti manusiawi yang tinggi. Ia menjadi sumber contoh kepada yang lain kerana yang lain fitrah dirinya juga memerlukan hal-hal yang sedemikian. Ia gemar melakukan kemakrufan dan menjauhkan diri dari kemungkaran. Melakukan kemungkaran ibarat merosakkan fitrah diri dan memiliki watak haiwani.

Membentuk watak yang manusiawi memerlukan jiwa keihsanan yang tinggi. Meyakini bahawa Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui menyebabkan manusia mempunyai kawalan diri atau disiplin diri. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan.” (al-Hujurat:18).

Insaf-ketuhanan (God-conciousness) ini terbina dengan iman, ilmu dan ihsan. Keimanan tidak sekadar membawa kepada percaya tetapi ilmu akidah yang dipelajari dengan mendalam membawa kepada keyakinan lalu terbina sifat ihsan yang murni.

Sifat akidah itu merentasi. Ia bukan hanya suatu kepercayaan dan keyakinan semata-mata tetapi ia mempunyai tautan dengan pemikiran dan batini dan terlihat dalam percakapan, terhubung dengan hati dan terpancar dalam amalan. Watak tauhidik ini sifatnya mendasari pekerti dan terlihat keindahannya dalam perbuatan. Ia juga merentasi amalan diri dan menyebabkan jiwa kehambaan terbina dengan asas ketaatan, kepatuhan, ketundukan dan keakuran yang tinggi kepada Allah.

Inilah cerminan akhlak karimah yang dituntut dalam Islam. Rasulullah SAW memiliki watak “Khuluq al-Quran” atau akhlak Qurani yang patuh kepada titah perintah Allah, taat kepada suruhan Allah, akur mengenai pedoman Allah dan tunduk kepada pantang larang Allah.

Asas ini sangat penting dimiliki supaya sumber al-Quran dijadikan pedoman dan sunnah Nabi dijadikan ikutan. Inilah lafaz dalam khutbah akhir Rasulullah SAW bahawa kita tidak akan sesat selama-lamanya sekiranya al-Quran dan al-Sunnah menjadi sumber rujukan dan ikutan.

Al-Quran bukan bersifat tekstual semata-mata (wahyu dan kitab). Ianya merujuk kepada kontekstual yang Allah ciptakan sebagai sumber rahmah dan nikmah. Dengan jiwa tadabbur yang tinggi, Allah kurniakan akal yang sihat kepada manusia untuk berfikir, merenung dan mengkaji akan kebesaran-Nya supaya iman menjadi teguh dan mampu bertahan.

Inilah tradisi ulama dan ilmuan silam yang mampu membina tamadun contoh kerana mempunyai jiwa Qurani yang tinggi bagi memperjelas makna kehidupan yang dicari bukan saja terhubung dengan akal yang terbatas tetapi terkait dengan naqal (wahyu) yang memiliki makna yang tidak terbatas.

Kelemahan yang terdapat pada umat Islam hari ini ialah terputusnya ibadah khusus dengan ibadah umum. Solat dilakukan sekadar solat tetapi tidak terhubung dengan pekerti dan tingkah laku. Mendirikan solat adalah amalan yang menjadi benteng terhadap melakukan yang fahsya’ (keji) dan mungkar.

Begitu juga puasa yang menjadi asas kepada tarbiah diri supaya disiplin diri terbina dan terbentuk pada watak menginsafi makna kelaparan, kawalan hawa nafsu yang selama ini menjadikan manusia berwatak haiwani kembali kepada watak manusiawi yang sifatnya menyantuni. Inilah maksud ibadah yang sebenarnya dalam Islam.

Justeru, pembentukan watak diri yang Islami perlu ditunjangi dengan ilmu dan contoh teladan. Mempelajari ilmu sedalam-dalamnya suatu hal. Mengamalkan ilmu itu sebagai sumber contoh dan ikutan pula adalah suatu hal yang amat dituntut.

Rasulullah SAW meninggalkan kepada kita dengan ilmu dan peribadi contoh. Sebab itu Islam dianut oleh umat manusia sehingga kini kerana al-Quran itu sumber yang hidup sepanjang zaman dan sunnah Nabi menjadi contoh yang hidup dalam amalan dan perbuatan.

Inilah kekuatan Islam iaitu berilmu dan beramal supaya keindahan Islam terlihat pada peribadi dan diri serta menjadi contoh untuk diteladani oleh orang lain. Di sini letaknya keunggulan Islam lantaran agama ini memberi manusia pedoman dan petunjuk untuk kesejahteraan umat manusia. – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *